Monday 3 September 2012

PENDEKATAN PENGAJARAN BAHASA

 

Dalam pengajaran bahasa pendekatan merupakan  satu set andaian  yang membentuk sifat bahasa, pembelajaran dan pengajaran yang dijalankan.  Terdapat empat pendekatan pengajaran iaitu :
Pendekatan Deduktif
Pendekatan Induktif
Pendekatan Elektif
Pendekatan Komunikatif

Pendekatan Deduktif

Konsep

            Pendekatan Deduktif   ini mengutamakan penguasaan undang-undang ataupun peraturan bahasa daripada penggunaan bahasa . Pelajar perlu melakukan menganalisa fakta atau isi yang membentuk generalisasi. Cerakinan dibuat daripada umum kepada spesifik (khusus).

Ciri- Ciri Pendekatan Deduktif

Pendekatan deduktif bermaksud murid akan   mementingkan pengetahuan yang diperoleh bukannya  pembentukan kebiasaan. Penyusunan isi hendalah dimulakan daripada keseluruhan yang dipermudahkan kepada yang lebih kompleks sifatnya. Pembelajaran  dengan kefahaman adalah lebih kekal dari menghafaz . Guru memulakan pengajaran dengan mengemukakan generalisasi di ikuti dengan contoh.
Guru –guru yang menggunakan pendekatan ini biasanya memulakan pengajaran bahasa mereka dengan huraian undang-undang bahasa yang hendak diajar sebelum memberi contoh-contoh penggunaannya.

Contoh aktiviti pengajaran

1      Guru akan memberi definisi kata adjektif .

2      Guru menerangkan bahawa kata adjektif ialah perkataan yang menerangkan  
 kata nama.
      3.   Seterusnya guru memberikan contoh kata adjektif yang lain seperti pendek, manis , masam dan lain-lain.
      4.   Guru menunjukkan penggunaan kata adjektif untuk melengkapkan ayat.

Pendekatan Induktif

Konsep

Pendekatan ini pula  mengutamakan contoh penggunaan bahasa daripada undang-undang atau peraturan bahasa. Pengajaran dimulakan dengan memberi contoh penggunaan unsur-unsur bahasa yang diajar sebelum guru menghuraikan undang-undang bagi unsur tersebut.

Ciri-Ciri  Pendekatan Induktif.

            Bermatlamatkan pembentukan biasa. Pendekatan ini memerlukan kekerapan ulangan dalam beraneka konteks untuk menguasai  sesuatu kemahiran. Pendekatan ini menekan kepada  pengajaran yang berbentuk konkrit.  Pendekatan ini memberikan peluang kepada murid untuk belajar sepenuhnya dengan bimbingan guru.

Contoh aktiviti pengajaran.

1             Guru mengemukakan beberapa ayat yang mengandungi kata adjektif.
-Pembaris itu panjang
-Rumah itu cantik.

2             Guru akan menarik perhatian murid kepada perkataan panjang dan cantik.

3             Murid akan dapati perkataan tersebut menerangkan sifat  kata nama.
4            Di akhir pengajaran, dengan bimbingan  guru murid dapat membuat kesimpulan bahawa mereka telah mempelajari kata adjektif yang menerangkan sifat sesuatu benda.

Pendekatan Eklektif

Konsep

            Pendekatan ini menggabungkan kedua-dua pendekatan di atas untuk menghasilkkan satu strategi pengajaran.

Ciri-Ciri Pendekatan Eklektif
            Pendekatan ini menggunakan pelbagai kaedah dan tidak terikat hanya dengan satu saja kaedah. Guru boleh menggunakan usaha sendiri  dam mengajar mengikut kebolehan dan kemampuan kanak-kanak.

Contoh aktiviti pengajaran
1.    Guru memulakan pengajaran dengan memberi contoh-contoh yang berkaitan dengan aspek bahasa yang hendak diajar.

2.     Murid-murid dipandu untuk sampai kepada undang-undang bahasa. Murid-murid kemudiannya didorongkan untuk memberi contoh-contoh lain dalam konteks yang hampir sama .

3.    Guru boleh juga memulakan pengajarannya dengan menyatakan undang-undang yang berkenaan dengan aspek bahasa yang diajar. Kemudian memberi contoh-contoh.

4.    Contoh-contoh lain didapati oleh murid untuk menerangkan undang-undang tadi. Akhirnya undang itu digunakan dalam konteks atau misalan-misalan yang hampir sama.

Pendekatan Komunikatif

Konsep

Pendekatan ini mengutamakan kecekapan berkomunikasi .Pengajaran bahasa mestilah merangkumi kecekapan bahasa yakni penguasaan sIstem tatabahasa serta kecekapan berkomunikasi.

Ciri-Ciri Pendekatan

Kecekapan yang pertama membolehkan seseorang murid menguasai struktur bahasa yang tepat bagi menyampaikan mesej kepada  orang ramai. Kecekapan yang kedua membolehkan murid tersebut menggunakan bahasa yang sesuai dengan khalayak yang dihadapinya.

Contoh aktiviti pengajaran

1     Pengajaran dimulakan dengan latihan menggunakan struktrur bahasa yang tepat
  dan  sesuai dengan sesuatu aktiviti komunikasi yang dipilih oleh guru .
      2    Pendekatan induktif dan deduktif digunakan dalam latihan ini.
      3.  Kemudian murid- murid akan melibatkan diri dalam aktiviti berkomunikasi atau       
           berinteraksi bagi membolehkan mereka menggunakan struktur ayat yang dilatih.
           Pendekatan pengajaran ini lebih berpusatkan murid daripada guru.


No comments:

Post a Comment