Friday 31 August 2012

JENIS-JENIS AYAT

AYAT TUNGGAL

  • Ayat tunggal ialah ayat terbentuk daripada satu klausa , iaitu ayat yang terdiri daripada satu subjek dan satu predikat.
  • Ayat dasar juga adalah ayat tunggal, tetapi bukan semua ayat tunggal dapat dianggap sebagai ayat dasar.
  • Ayat dasar merupakan ayat tunggal jenis ayat penyata dalam ragam ayat aktif.
  • Ayat ini juga dikenali sebagai ayat mudah atau ayat selapis.
  • Contoh : Lelaki itu /sedang menembak burung.
Subjek    =  Lelaki itu
Predikat  =  sedang menembak burung .
  • Ayat-ayat berikut ialah contoh ayat-ayat tunggal
  • (subjek ditebalkan. Selainnya ialah predikat).
Ibu negara Malaysia Kuala Lumpur.
Gunung Kinabalu gunung tertinggi di Asia Tenggara.
Di dalam almari tali leher ayah.(pasif)
Nama encik siapa?
Berapakah keuntungan kita hari ini?

  • Ayat tunggal terdiri daripada satu subjek dan satu predikat.
  • Subjek ayat tunggal boleh terdiri daripada frasa nama, frasa kerja dan frasa adjektif.
  • Begitu juga dengan predikat ayat tunggal boleh terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama.

Thursday 30 August 2012

SALAM PERKENALAN

BAHASA MELAYU SEKOLAH RENDAH

Kemahiran Bahasa

Kemahiran bahasa meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan kemahiran menulis.  Kemahiran bahasa merupakan teras penguasaan bahasa baku.

 i.        Kemahiran Mendengar
Kemahiran mendengar merujuk kepada keupayaan murid mendengar denga teliti, memahami dan menghayati secara lisan perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta dapat memberikan maklum balas.

ii.        Kemahiran Bertutur
Kemahiran bertutur merujuk kepada keupayaan murid berbicara untuk menjalin hubungan dan menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan serta idea yang kritis dan kreatif dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan.  Penekanan diberikan pada penggunaan pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang betul.

iii.        Kemahiran Membaca
Kemahiran membaca merujuk kepada keupayaan murid membaca dengan sebutan, intonasi, jeda, dan kelancaran yang betul.  Penekanan perlu diberikan pada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik membaca.  Di samping itu, murid berupaya menghayati teks yang dibaca.

iv.        Kemahiran Menulis
Kemahiran menulis merujuk kepada keupayaan murid menulis perkataan dan ayat, dan mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui.  Penekanan perlu diberikan pada penggunaan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas, cantik, dan kemas.  Murid juga digalakkan menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan penulisan bahan berunsur pengetahuan dan imaginatif.
Penguasaan kemahiran bahasa memerlukan kepelbagaian situasi dan konteks yang meliputi bahan prosa, puisi, dan grafik



Sunday 26 August 2012

Pengalaman Membina Blog

Salam untuk semua. Pertama sekali apabila menerima arahan untuk menyediakan blog  bagi subjek Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (BMM 3105) saya merasakan sesuatu yang sukar. Apatah lagi selama ini tidak berapa mempedulikan tentang perkataan blog.   Saya hanya tahu mencari bahan dan melihat bahan yang telah disediakan sebagai bahan bantu mengajar terutama sekali apabila menyambung pengajian.
Berdasarkan  bahan bacaan dan soal jawab dengan rakan-rakan yang mahir  ditambah dengan sedikit  panduan yang diberikan oleh pensyarah maka saya cuba sendiri  membina blog secara perlahan-lahan.  Sebenarnya buku panduanlah yang membantu saya untuk menyiapkan blog saya. Walaupun tidaklah cantik , namun kini perlahan-lahan saya cuba untuk menyiapkan bahan-bahan yang sepatutnya  diminta. Hakikatnya saya tidaklah faham tetapi saya hanya cuba  seberapa yang mungkin.
Untuk membina blog, saya  telah membuka akaun  gmail. Setelah mendapat emel gmail saya telah cuba membina blog menerusi panduan dari buku.  Walaupun saya tahu bahawa pemilihan warna  latar belakang memainkan peranan utama  namun saya masih buntu dan berharap agar dapat ilham untuk diletakkan latar belakang yang menarik sebelum tarikh akhir bagi pemberian markah.  Saya juga telah cuba memasukkan gajet-gajet yang sesuai.
Akhir sekali, terus terang saya mengharapkan agar  Encik Bukhari sebagai pensyarah dapat memahami situasi saya yang serba kekurangan dari segi penggunaan teknologi maklumat komunikasi ini. Selain itu, kekangan masa sebagai guru yang mengajar tahun enam  sentiasa sibuk dengan aktiviti disekolah, juga tugasan terhadap rumah tangga dan sebagai seorang pelajar menyekat aktiviti untuk   mencari bahan-bahan untuk dimuatkan dalam  blog. Meskipun begitu demi mendapatkan bahan dan memenuhi tuntutan dalam pengajian maka saya paksakan diri untuk menyelami  dan memahaminya. Selain itu, saya sedar ini telah memberi saya peluang untuk menambah ilmu dalam pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer. Saya juga berharap agar pengalaman membina blog dan memasukkan bahan-bahan pembelajaran ini memberikan saya ilham untuk menambahkan lagi pengetahuan saya dalam bidang tmk. Saya harap selepas ini saya dapat manfaatkan pengalaman berblog ini untuk masa depan demi menerima dan memberi  pengalaman  sebagai seorang pendidik kepada anak didik. Apapun hanya inilah blog yang mampu saya siapkan semuga memenuhi apa yang dihasratkan.    SELAMAT BERBLOG
Disediakan oleh;
Noraini Yusuf

Wednesday 8 August 2012

AKTIVITI 1: Tip Guna Enjin Carian

i. Tips Guna Enjin Carian

Kaedah-kaedah yang betul untuk mendapat carian maklumat yang tepat dan pantas menggunakan enjin carian di Internet iaitu:-
1. Penggunaan kata kunci atau terma yang unik dan spesifik dalam suatu carian yang dibuat.
2. Penggunaan tanda tolak (-) dalam kata kunci pencarian. Fungsinya adalah untuk memperkecilkan lagi skop carian. Enjin carian akan menghasilkan keputusan carian yang di luar jangka terutama kata kunci yang digunakan mempunyai beberapa maksud. Tanda tolak ini akan berfungsi secara logik sebagai TIDAK atau penafian bagi sesuatu makna dalam kata kunci carian. Ia akan membuang beberapa keputusan carian yang tidak berkenaan.
3. Penggunaan tanda pengikat kata (" ") bagi mendapatkan kata kunci yang lebih bersifat spesifik dan merangkumi segala kata kunci tersebut. Ia tidak akan mencari maklumat secara umum yang berkaitan dengan kata kunci yang dicari. Ia adalah satu cara bagi mengurangkan paparan maklumat yang tidak betul, tidak berkaitan dan tidak tepat dalam sesuatu carian.
4. Pengunaan huruf besar dan huruf kecil. Kebanyakan enjin carian tidak membezakan sesuatu perkataan yang sama dengan huruf kecil, huruf besar dan yang berada dalam pengikat kata.
5. Tidak menggunakan perkataan kebiasaan dan tanda seruan. Ini kerana kebanyakan enjin carian akan abaikan perkataan kebiasaan yang digunakan dalam ayat untuk bahasa Inggeris seperti and, a, the, an, is dan lain-lain. Pengunaan tanda seruan juga akan diabaikan. Namun begitu, ia boleh digunakan dan enjin carian akan mengambil kira dalam proses carian sekiranya ia berada dalam pengikat kata (" ").
6. Penggunaan fungsi AutoComplete dalam enjin carian. Penyusunan terma kata carian daripada secara umum kepada yang lebih spesifik dalam kotak carian dapat banyak membantu memaparkan keputusan yang tepat dalam bentuk senaraian pada kotak carian tersebut. Inilah cara yang berkesan menggunakan fungsi AutoComplete dalam enjin carian. Pemilihan item yang bersesuaian pada kotak carian menjimatkan masa untuk menaip sesuatu terma carian. Fungsi AutoComplete ini bukan sahaja berada dalam enjin carian seperti Google tetapi ada pada pelayar web atau brwoser seperti Internet Explorer, Mozilla Firefox dan lain-lain.
7. Elakkan menggunakan kata carian berbahasa Inggeris yang mempunyai imbuhan perkataan seperti balls, tested, walking dan lain-lain. Lebih baik menggunakan perkataan asas seperti ball, test, walk dan lain-lain. Ini dapat mengurangkan paparan maklumat yang tidak tepat dalam menggunakan enjin carian.
8. Penggunaan Browser History atau fungsi sejarah dalam pelayar web seperti Internet Explorer, Mozilla Firefox dan lain-lain.
9. Hadkan masa carian dan tambahkan dengan pelbagai cara carian. Sekiranya dalam masa tertentu, masih belum menjumpai maklumat yang dicari, kita perlu ada kaedah atau perancangan yang lain seperti berikut:-
* Penggunaan enjin carian yang lain seperti Yahoo!, Lycos, Bing dan lain-lain.
* Membuat pertanyaan dengan menghantar soalan ke forum-forum elektronik yang berkaitan.
* Menggunakan pakar carian maklumat yang boleh membantu.
* Membuat panggilan telefon untuk sesuatu bantuan atau pertanyaan.
* Bertanya soalan atau maklumat tersebut kepada rakan taulan.
10. Perincikan carian maklumat yang dibuat. Terdapat beberapa simbol yang boleh diguna pakai dalam carian bagi menambahkan kespesifikan carian dan mengurangkan skop carian. Ia dapat mengurangkan paparan maklumat yang tidak sesuai. Di antaranya adalah seperti berikut:-
* Tanda tambah ( + ) - Enjin carian akan abaikan perkataan sambungan atau yang biasa digunakan dalam ayat seperti is, are, and dan sebagainya. Sekiranya perlu untuk kita masukan perkataan tersebut boleh menambah simbol tambah ini dipermulaan perkataan tersebut seperti giant +and city. Jadi, carian tersebut akan memaparkan segala maklumat berkenaan perkataan tersebut termasuk perkataan and.
* Tanda aliran ( ~ ) - Dengan penambahan tanda ini didepan sesuatu perkataan, enjin carian akan mencari maklumat perkataan tersebut dan maklumat yang sinonim dengan perkataan tersebut. Namun begitu, tidak kesemua perkataan berupaya mendapatkan hasil yang baik dengan tanda ini terutama sekali perkataan singkatan dan mepunyai banyak makna seperti HTML, CSS, HTTP dan lain-lain. Contoh penggunaanya adalah seperti berikut, ~ HTML.
* Tanda asterik ( * ) - Ia digunakan untuk mencari sesuatu perkataan bersama dengan terma lain yang tidak diketahui seperti berikut, pendekar *. Namun begitu, ia tidak boleh digunaka untuk sebahagian daripada perkataan seperti pendekar m*. Hasil carian akan memaparkan segala maklumat berkenaan dengan pendekar dengan tambahan apa-apa perkataan yang lain.
* Tanda atau ( OR ) atau ( | ) - Ia digunakan untuk mencari salah satu perkataan-perkataan carian yang sesuai. Sebagai contoh, kenangan indah akan memaparkan maklumat kedua-dua perkataan tersebut tetapi kenangan | indah akan memaparkan kesemua maklumat berkenaan salah satu daripada perkataan carian tersebut.
* Julat penomboran - Perincian sesuatu carian yang bernombor boleh dikecilkan skop cariannya dengan menyatakan julat dan jenis pengukuran bagi nombor tersebut. Sebagai contoh, Windows Server 2005 .. 2008, iPad RM100 RM200 dan lain-lain.
* Penggunaan carian pintar atau Advanced Search yang mempunyai banyak pilihan dan kriteria untuk mengecilkan lagi skop carian seperti tarikh, negara, bahasa dan lain-lain. Ia boleh digunakan dengan mengklik butangnya yang terdapat di sekitar kotak carian.
* Penggunaan fungsi Wonder Wheel dalam enjin carian Google. Ia juga merupakan satu kaedah pencarian yang mengecilkan skop carian kepada carian yang lebih spesifik pada sesuatu perkara.
Ia boleh dibuat carian menerusi kotak carian Google.
Kemudian klik kepada perkataan Wonder Wheel disebelah tepinya.
Segala apa yang dibincangkan sama ada ia merupakan satu kaedah carian atau alat carian adalah merupakan perkara penting. Ini berguna untuk kita mendapatkan carian maklumat yang hampir tepat dalam masa yang pantas.
Segala maklumat yang tidak perlu dapat dihindarkan daripada paparan enjin carian.
Internet merupakan sebuah gudang maklumat yang mempunyai pelbagai jenis maklumat.
Tugas kita adalah untuk memperhalusi aspek carian maklumat agar berupaya mendapat maklumat yang tepat dalam masa yang pantas. Hampir kesemua enjin carian adalah berasaskan kepada bahasa Inggeris.

Sumber:

ii. Empat pautan lain berkaitan cara guna enjin carian google.




Disediakan oleh,
Cikgu Ani Langkawi.